Atari dan Activision Umum Koleksi Fizikal 39 Permainan Klasik
Atari hari ini mengumumkan kerjasama fizikal dengan Activision yang dinamakan Atari x Activision Collection, menandakan pertemuan semula antara kedua-dua syarikat selepas hampir 50 tahun. Koleksi ini menghimpunkan 39 permainan klasik Activision dalam bentuk kartrij fizikal yang berfungsi, termasuk judul seperti Pitfall!, River Raid, dan Kaboom!.
Terdapat tiga cara untuk membeli koleksi ini. Edisi Standard untuk 12 permainan akan mula dijual pada bulan November dengan harga USD$35 setiap satu. Permainan dalam edisi ini ialah Pitfall!, River Raid, Megamania, Enduro, Kaboom!, H.E.R.O., Pressure Cooker, Private Eye, River Raid II, Keystone Kapers, The Activision Decathlon, dan Pitfall II: Lost Caverns. Namun, Atari memaklumkan bahawa The Activision Decathlon dan Pitfall II: Lost Caverns akan dihantar pada tarikh kemudian dari judul lain.
Selain itu, terdapat empat set kotak yang merangkumi kesemua 39 permainan. Set pertama, Treasure, akan mula dijual pada akhir November. Tiga set lain, iaitu Speed, Secrets, dan Victory, akan menyusul sepanjang suku pertama hingga ketiga tahun 2027. Set kotak ini boleh ditempah melalui atari.com dengan harga USD$250 setiap satu.
Bagi pengumpul yang mahukan kesemua permainan dalam satu pakej, koleksi lengkap yang merangkumi semua 39 permainan serta satu item koleksi yang belum diumumkan boleh ditempah dengan harga USD$1000.
Koleksi ini direka untuk konsol Atari 2600+ dan 7800+, serta perkakasan asal Atari 2600 dan 7800. Edisi Standard hadir dengan pembungkusan penuh dan manual berwarna yang diilhamkan daripada keluaran asal.
Dalam satu kenyataan, Matt Burnett, Naib Presiden Perkakasan Atari, berkata: "Pada 1979, sekumpulan pengaturcara Atari berusaha untuk membuktikan bahawa permainan hebat boleh datang daripada pencipta bebas dan akhirnya mengubah industri permainan selama-lamanya. Koleksi Atari x Activision menghidupkan warisan ini melalui permainan itu sendiri, memberi peminat peluang untuk mengalami, mengumpul, dan memelihara karya pembangun yang membantu membentuk model baharu untuk industri video game."
Pengumuman ini muncul sebagai kejutan menarik di tengah-tengah masa sukar bagi pengumpul media fizikal. Keputusan PlayStation untuk menghentikan cakera fizikal dalam masa terdekat tidak akan menjejaskan perniagaan Atari sama ada sekarang atau pada masa hadapan.


